Tentang goSolat

Kisah, tujuan dan kraf di sebalik aplikasi ini.

goSolat bermula sebagai eksperimen kecil pada tahun 2021. Semasa PKP 2.0, saya sukar untuk fokus ketika solat dan kerap terlupa kiraan rakaat. Dalam kumpulan sokongan atas talian, saya sedar ramai mengalami isu yang sama. Solat di rumah sunyi dan panjang, lalu mudah teralih perhatian.

Ketika itu saya mula bereksperimen dengan Machine Learning untuk mengira rakaat dalam solat secara automatik. Saya juga mencuba pelbagai pendekatan seperti menggunakan sensor gerakan Apple Watch, melatih ML dengan imej (yang boleh bermanfaat khususnya untuk wanita), dan bereksperimen dengan data pergerakan. Prosesnya memenatkan, rakam video setiap solat, latih model, baca kertas kajian, namun saya tertanya-tanya:

Kenapa tiada aplikasi yang dapat membantu Muslim menjejaki solat dengan lebih mudah?

Projek ML itu hanyalah permulaan, kerana daripadanya lahirlah goSolat.

Kesedaran Yang Lebih Mendalam

Dalam hidup, kita sering ditekankan tentang kepentingan melangsaikan hutang duit. Namun jarang kita mengingatkan satu sama lain tentang hutang solat yang tertinggal, yang kita berhutang kepada Allah.

Solat lebih daripada ritual, ia adalah tanggungjawab kita. goSolat wujud untuk memudahkan Muslim mengira dan menjejak (akan datang) solat yang tertinggal, agar kita boleh melangsaikan apa yang terhutang dengan jelas dan berterusan.

Hari Ini

Apa yang bermula sebagai eksperimen Machine Learning peribadi kini menjadi platform praktikal untuk Muslim di mana-mana (insya-Allah). goSolat dibina untuk memudahkan pengiraan qada solat, mengurangkan rasa terbeban, dan memberi keyakinan bahawa kita kekal bertanggungjawab dalam ibadah.

Rekabentuk goSolat adalah minimal dan ringkas, tetapi untuk rekaan waktu solat ia membawa minimalisme ke tahap yang lain. Malah saya percaya ia satu-satunya reka bentuk waktu solat ultra-minimalis di dunia. Tiada serabut, tiada gangguan, hanya fokus pada perkara yang paling penting.

Perjalanan Seterusnya

Perjalanan saya dengan goSolat masih jauh. Banyak perkara yang saya ingin bangunkan, antaranya:

  • Aplikasi mudah alih khusus
  • Integrasi dengan wearables & alatan lain
  • Penjejak qada’ minimal untuk melangsaikan secara lebih sistematik
  • Lebih banyak ciri yang membantu kekal konsisten

Saya akan terus memperbaiki, selangkah demi selangkah, dan akan cuba sebaik mungkin, insya-Allah. Ini perjalanan saya dan juga anda.

— Afiq Xilantra Azmi